Bela kebajikan, pendidikan anak yatim DUN Rembia
REMBIA – Kebajikan dan pendidikan anak yatim akan diberi keutamaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, fokus utamanya terarah kepada anak-anak yatim yang tidak ditempatkan di Rumah Anak Yatim dan dijaga oleh keluarga atau saudara-mara.
Katanya, perkara itu diberi perhatian serius bagi memberi kehidupan lebih baik kepada anak-anak tidak bernasib baik itu.
“Matlamat kita nak pastikan mana-mana anak yatim yang tidak dijaga di sekolah anak yatim tetapi dijaga saudara mara akan diberi penjagaan sepenuhnya termasuk yuran persekolahan, pakaian sekolah dan perbelanjaan hariannya.
“Kita akan pastikan kehidupan mereka lebih baik dari sebelum ini ia sehinggalah kos makan mereka di sekolah akan diberikan sekurangnya RM1 sehari dan dijaga sepanjang hari.
“Setakat ini kita sedang mengumpulkan maklumat dan data mereka jadi jika kita dapat kumpul jumlah yang tepat kita akan jaga mereka demi menjalankan kehidupan yang lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rembia, baru-baru ini.
Rumah Terbuka Aidilfitri itu menerima sambutan cukup menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum di kawasan berkenaan bagi meraikan perayaan Aidilfitri tahun ini.
Dalam majlis sama, Muhammad Jailani turut memberi sumbangan kepada 160 anak yatim sempena Aidilfitri tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.