DOSM laksana soal selidik tentukan tanda aras baharu kemiskinan pendapatan – Mustapa
KOTA BHARU, 15 Mei – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalan soal selidik mengenai pendapatan dan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara yang dijangka siap hujung tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata apabila soal selidik itu siap nanti, negara dijangka memiliki tanda aras baharu paras kemiskinan serta pendapatan bagi golongan B40, M40 dan T20.
Katanya soal selidik tersebut dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun sekali, dan ketika ini data yang digunakan berdasarkan soal selidik pada 2019.
“Pendapatan turun naik lebih-lebih lagi dalam tempoh COVID-19, tidak adil kalau semua soal selidik dibuat dalam tempoh tersebut.
“Kini dalam peralihan ke fasa endemik, rakyat sudah bekerja dan pendapatan pun meningkat, jadi kita mahu pendapatan itu benar-benar mencerminkan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Sosioekonomi kepada Media Negeri Kelantan, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata soal selidik baharu antara lain bertujuan membuat pemutihan kadar kemiskinan tegar di negara ini.
“Pertengahan tahun lepas, miskin tegar Malaysia ialah 262,000 keluarga, tetapi pada Februari tahun ini jumlahnya ialah 210,000 manakala pada 15 April terus menurun kepada 195,664,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.