Sorting by

×

Kenaikan harga tiket muzium tampung kos penyelenggaraan tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR: Kenaikan harga tiket muzium yang naik antara RM2 hingga RM10 tidak melibatkan kenaikan terlalu tinggi dan tidak membebankan malah membantu Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menampung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat.

Pengerusinya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sekiranya dinilai berdasarkan peratusan, jumlah kenaikan itu dilihat besar antara 60 hingga 100 peratus.

Katanya, namun kenaikan itu adalah bersesuaian dengan keadaan sektor pelancongan yang baharu hendak pulih di samping membantu kerajaan negeri menampung kos penyelenggaraan yang semakin tinggi.

“Kenaikan itu adalah selaras dengan keputusan ahli lembaga pengarah yang mengambil kira kos penyelenggaraan yang semakin tinggi sekarang ini,”

“Saya percaya kenaikan itu tidak membebankan dan PERZIM beranggapan perlu pada waktu ini bagi memastikan penambahbaikan dilakukan untuk mengembalikan ekonomi sektor pelancongan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

AKRAMUDDIN. Foto fail.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, peningkatan harga itu bagaimanapun tidak membebankan berikutan terdapat sesetengah harga dinaikkan berdasarkan pakej lawatan muzium.

“Jika ikut peratusan memang nampak besar, tapi jika dilihat contohnhya bagi Kompleks Muzium Negeri Melaka yang naik daripada RM6 kepada RM10, harga tiket itu bukan untuk satu muzium sahaja sebaliknya adalah untuk enam muzium iaitu Muzium Sejarah dan Etnografi;Muzium Pemerintahan Demokrasi; Muzium Pendidikan; Muzium Sastera, Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka dan Galeri Laksamana Cheng Ho.

“Bagi kemasukan harga tiket untuk satu muzium, contohnya Muzium Kapal Selam, daripada RM6 kepada RM10, ianya akan memberikan impak besar kepada pengunjung.

“Mereka boleh merasai kenikmatan dan suasana anggota parajurit negara berkhidmat dalam kapal selam itu selain melihat ‘jet fighter’ dan sebagainya,” katanya.

PERZIM menerusi laman Facebook Muzium dan Galeri Melaka memaklumkan penyelarasan harga tiket beberapa muzium berkuatkuasa 1 Jun ini.

Antara harga tiket yang dinaikkan adalah Kompleks Muzium Negeri Melaka dan Kompleks Muzium Samudera serta Muzium Kapal Selam dinaikkan daripada RM6 kepada RM10.

Perkampungan Hang Tuah dan Muzium Istana Kesultana Melaka juga dinaikkan daripada RM5 kepada RM10.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1989
Kongsi :
Previous post Puteri UMNO nafi mesyuarat cadang Sulaiman dilantik Pengerusi BN, UMNO Melaka
Next post Harga durian dijangka lebih mahal tahun ini
Ubah saiz-+=