Polis Sabah rampas lebih 10 kilogram syabu bernilai RM360,000
KOTA KINABALU, 12 Mei – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 10.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM360,000 selepas menyerbu sebuah kenderaan di Taman Sri Rugading, Tuaran, Ahad lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata suspek berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam semasa berada dalam kenderaan Toyota Prado yang diserbu oleh anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
“Apabila diperiksa, polis menemukan satu kotak berisi 10 plastik kecil yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 10.4 kilogram,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati dadah itu dihantar daripada Semenanjung menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran di Sabah, dan polis masih memburu dua individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.
Menurutnya suspek yang didapati positif dadah jenis syabu direman sehingga 15 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu merujuk kepada kes seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang maut akibat ditetak datuk saudaranya di Kampung Ubi Sungai Pauh, Kinabatangan semalam, Jauteh berkata suspek dipercayai menghadapi kemurungan sejak dua tahun lepas.
“Difahamkan suspek kurang diberi perhatian oleh keluarganya, dan pada hari kejadian kemurungan yang dihadapi suspek bertukar menjadi amukan kerana dipercayai marah selepas anaknya ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” tambahnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, suspek difahamkan bertindak menetak mangsa dan ibunya di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.