Saya masih Ketua Menteri Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri sebaliknya ia hanya ura-ura yang ingin mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat hari ini beliau masih memegang jawatan itu dan akan terus berkhidmat sehabis baik untuk rakyat di negeri ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus
berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata desas-desus mengenai isu itu tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika Barisan Nasional (BN) sedang fokus untuk memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang telah hilang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau bersikap terbuka beliau mendengar pandangan ahli-ahli politik Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Setelah memenangi PRN Melaka ke-15 yang lalu, saya bersama EXCO dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan program-program pembangunan negeri Melaka dan memenuhi aku janji-aku janji yang telah dilafazkan.

“Segala usaha ini adalah untuk memastikan Negeri Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri-negeri dan negara-negara maju yang lain,”katanya.

Sulaiman berkata ketika ini beliau sedang berada di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina bagi mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022.

“Turut bersama saya EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh Misi untuk melihat peluang-peluang pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke Negeri Melaka.

“Pada masa sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun daripada segi perkembangan politik tanah air.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru agar kita semua bermuhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi
PRU-15 akan datang,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau mempunyai agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain isu politik.

“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post Adik nafi cederakan abang guna pisau pemotong ayam
Next post 13 Kluster babitkan 977 kes HFMD di Melaka
Ubah saiz-+=