PM Ismail Sabri pelawa pelabur AS, Tesla melabur di Malaysia
WASHINGTON D.C, 11 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu (Khamis di Malaysia) mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan kereta elektrik.
“Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menemui Duta Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) di sebuah hotel di sini.
Penubuhan AS-ABC pada 1984 mewakili 170 perniagaan utama Amerika di Asia Tenggara.
Perdana Menteri yang tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu dengan Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN.
Ismail Sabri berkata beliau telah meminta AS-ABC untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke ASEAN, terutamanya Malaysia.
Malaysia dilihat sebagai rakan dagang penting, WCIT di Pulau Pinang
“Mereka menganggap Malaysia sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat yang penting,” kata Perdana Menteri mengenai reaksi AS-ABC.
Kemudian, Ismail Sabri mempunyai sesi berasingan dengan Setiausaha Agung World Information Technology and Services Alliance (WITSA) Dr James H. Poisant di tempat yang sama.
WITSA, katanya akan mengadakan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT), persidangan IT terbesar di dunia, di Pulau Pinang pada September.
“Saya berharap kongres ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi teknologi,” katanya.
Ismail Sabri berkata peserta dari seluruh dunia akan berhimpun di kongres itu termasuk penceramah dari agensi angkasa Amerika.
Dalam pertemuan lain di tempat yang sama, Perdana Menteri Malaysia bertemu Presiden Peterson Institute for International Economics Dr Adam S. Posen dan Naib Presiden East-West Center Dr P. Limaye.
Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan berasingan dengan Timbalan Penolong kepada Presiden AS dan Penyelaras Hal Ehwal Indo-Pasifik di Majlis Keselamatan Negara Dr Kurt M. Campbell.
Ismail Sabri memberitahu Dr Campbell bahawa semua negara anggota ASEAN perlu terlibat dengan cadangan inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang diterajui AS.
Pada masa ini, beberapa negara daripada kumpulan itu tidak terlibat dalam inisiatif perdagangan dan ekonomi utama untuk rantau Indo-Pasifik.
“Malaysia berpandangan semua negara ASEAN perlu dilibatkan,” katanya sambil menambah Kuala Lumpur pada dasarnya bersetuju menyertai IPEF. -BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.