Remaja OKU maut dalam kebakaran
GEORGE TOWN, 8 Mei – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam insiden kebakaran sebuah bilik di rumahnya di tingkat lapan Pangsapuri Desa Bayan, Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Muhammad Nur Iqmal Aiman Mohd Shakrisham,18, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan 80 peratus bahagian belakang badannya melecur.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan jentera pertama dari Bayan Baru tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah di tingkat lapan berlaku kebakaran dan kediaman itu dalam keadaan berkunci, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah bagi menjalankan operasi pemadaman di situ.
“Sebaik pintu berjaya dipecahkan, kami mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik berkeluasan 9.3 meter persegi dan selepas operasi pemadaman, kami menemukan seorang mangsa lelaki dalam keadaan tertiarap di bucu bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat asap kebakaran itu dan berdasarkan siasatan, mangsa adalah seorang yang hiperaktif.
“Kami dimaklumkan jika bapanya keluar ke tempat kerja, mangsa akan ditinggalkan sendirian dalam bilik tersebut dan mereka memang tinggal berdua sahaja di rumah itu… seorang lagi adik perempuan si mati tidak tinggal bersama,” katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Bapa mangsa, Mohd Shakrisham Mohamad, 40-an, pula berkata dia masih terkejut dengan insiden yang telah meragut nyawa anaknya itu.
“Saya pergi kerja pada 6.40 pagi dan tutup pintu seperti biasa… ketika sedang bekerja, ada orang beritahu rumah terbakar dan saya terus pergi lihat, tengok-tengok itu rumah saya dan dimaklumkan anak saya turut terlibat,” katanya sambil menahan sebak.
Pekerja kedai runcit itu yang kematian isteri pada 9 Mac lepas akibat kanser juga berkata sebelum keluar bekerja, dia memeluk serta meminta maaf kepada anaknya dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Memang itu yang saya lakukan setiap hari dan dia juga sebelum tidur setiap malam peluk serta minta maaf dengan saya, dia juga cakap sayangkan saya,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.