Sorting by

×

Bakal jadi acara tahunan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 9 Sept. – Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka bakal dijadikan acara tahunan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Ar Haji Ismail Othman.

Ismail berkata, berdasarkan kejayaan edisi pertama yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam, jelaslah ia mempunyai potensi besar untuk menjadi acara rutin di masa akan datang khususnya membabitkan generasi muda.

“Saya harap pertandingan ini diteruskan setiap tahun dan berharap agar ia dapat menarik lebih banyak penyertaan. Kalau kita tengok pada edisi kali ini bukan sahaja peserta berbangsa Melayu, bahkan bangsa Cina dan India turut sama menyertainya dan itu menunjukkan perpaduan itu sedang diterapkan.

“Kalau boleh saya mahu lihat lebih banyak penyertaan diterima daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau Tamil untuk bersama-sama sekolah aliran biasa untuk menyertai program berunsurkan perpaduan seperti ini.

“Ia penting untuk menerapkannya di peringkat sekolah, bak kata pepatah Melayu, Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya. InsyaAllah kalau ini dapat kita kita laksanakan, kita dapat mencapai apa sahaja matlamat dan dasar yang hendak kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pusingan akhir Pidato Rukun Negara di MITC, semalam.

Majlis itu disempurnakan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Ismail turut mengharapkan melalui pertandingan pidato berkenaan ia bukan sahaja dipersembahkan di atas pentas, bahkan dapat dihayati serta dipraktikkan dalam amalan seharian.

Views:

441
Kongsi :
Previous post Sambutan Pidato Rukun Negara di luar jangkaan
Next post Guru ekonomi SMK Seri Tanjung johan Pidato Rukun Negara
Ubah saiz-+=