Sorting by

×

Op Utama: 1,250 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya – JSPT KL

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Polis mengeluarkan sebanyak 1,250 saman kepada pengguna jalan raya menerusi Op Utama yang dilaksana selama tiga hari bermula Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Saleh berkata menerusi operasi berkenaan yang diadakan bersempena Op Selamat 18, polis turut menahan 11 lelaki tempatan berumur 15 hingga 47 tahun atas pelbagai kesalahan trafik.

“Daripada 11 yang ditahan, lapan daripadanya ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dua lagi didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan seorang lagi ditahan atas kesalahan menunggang motosikal curi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan awal pagi tadi selepas mengetuai Op Utama yang dilaksanakan di sekitar ibu kota.

Op Utama tertumpu kepada pemeriksaan ke atas kenderaan yang diubah suai, pemandu mabuk dan samseng jalanan.

Sarifudin berkata dalam operasi berkenaan juga, polis menahan seorang lelaki kerana didapati positif dan memiliki dadah.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 22 motosikal dan tiga kenderaan turut disita atas kesalahan mengubah suai kenderaan dan ekzos.

“Tindakan serta pemeriksaan (dilakukan) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Alam Sekitar selain pemilik diarah untuk mengubah kepada asal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis menempatkan anggotanya di tiga pintu masuk utama ke ibu negara bagi membantu penyuraian trafik susulan pergerakan pulang orang ramai ke kediaman masing-masing selepas cuti Aidilfitri.

Beliau dalam pada itu menasihati pengguna jalan raya agar tidak melakukan kesalahan yang boleh membahayakan nyawa dan pengguna yang lain.

“Kita berharap pengguna jalan raya terutama yang akan memasuki Kuala Lumpur agar berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan terjaga dan masing-masing selamat sampai ke destinasi,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Aliran trafik terkawal, hanya beberapa kawasan alami kesesakan
Next post Rai Aidilfitri bersama, bukti Keluarga Malaysia akrab – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=