Suasana ala desa, lebih 40 menu di rumah terbuka Aidilfitri esok
Dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri Kabinet, majlis itu dijangka menerima kira-kira 70,000 pengunjung termasuk pelancong asing yang turut dijemput hadir ke majlis tersebut.
Kebiasaannya, majlis rumah terbuka perdana menteri diadakan pada 1 Syawal namun tahun ini berbeza dengan sambutan diraikan pada 7 Syawal bagi memberi peluang kepada orang ramai balik kampung beraya bersama keluarga, setelah dua tahun terhalang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
Tinjauan Bernama di Laman Sari, Seri Perdana hari ini mendapati persiapan giat dilakukan termasuk penyediaan pentas utama berkonsepkan ‘kampung’, dekorasi dan semakan audio dan muzik.
Turut diadakan sesi taklimat hampir sejam oleh Ketua Penolong Setiausaha, Unit Protokol Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) Mohd Hanafiah Moktar dengan agensi utama antaranya Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, dan Perbadanan Putrajaya bagi memastikan proses majlis rumah terbuka berjalan lancar.
Sebanyak 20 khemah disediakan di luar Kompleks Seri Perdana untuk pengunjung yang berbaris dan menunggu giliran untuk masuk ke majlis serta kemudahan buggy bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Pengarah Pengurusan Pejabat Perdana Menteri Mohd Sabri Seman ketika ditemui berkata hampir 95 peratus persiapan telah siap setakat 11.30 pagi tadi, dengan perancangan teliti dibuat sejak awal Ramadan.
“Tinggal kerja-kerja finishing sahaja lagi untuk menyambut tetamu esok. Persiapan ini melibatkan koordinasi dari pelbagai pihak, dari sistem bunyi, peralatan dan khemah, sistem aliran trafik dan penyediaan makanan,” katanya.
Mohd Sabri berkata pengunjung yang berhasrat untuk ke Seri Perdana esok dinasihatkan menggunakan perkhidmatan bas percuma disediakan oleh Perbadanan Putrajaya di tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.
“Tinggalkan kereta masing-masing di tempat drop point itu. Ini adalah bagi mengelakkan ketiadaan ruang parkir di kawasan Seri Perdana berikutan bilangan pengunjung yang dijangka tinggi,” katanya yang turut menggalakkan pemakaian pelitup muka di majlis rumah terbuka itu.
Mengenai juadah makanan pula, beliau berkata lebih 40 menu makanan dan minuman akan disediakan buat pengunjung dengan lebih 30 gerai disediakan berkonsepkan layan diri.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.