Sorting by

×

Pemandu bas ekspres ‘kantoi’ positif dadah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PERINGGIT 7 Mei – Seorang pemandu bas ekspres ditahan selepas dikesan positif dadah dalam Operasi Penguatkuasan Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Terminal Melaka Sentral di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, pemandu lelaki yang ditahan berusia 38 tahun itu dikesan positif dadah jenis ganja selepas ujian saringan urin dibuat.

Katanya, pemandu bas berkenaan merupakan pemandu gantian dari Negeri Kedah yang akan membawa bas ekspres berkenaan bagi perjalanan Melaka ke Kedah.

“Dia (pemandu bas) dari Kedah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahannya kira-kira jam 9.30 malam tadi.

“Pihak syarikat bas terlibat sudah tukarkan pemandu lain untuk membawa bas tersebut ke destinasi sepatutnya.

“Setakat ini kita tahan seorang sahaja pemandu bas berusia 38 tahun, dia dari Kedah ke sini untuk bawa bas dari Melaka ke Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan di sini, malam tadi.

Katanya, pemandu bas berkenaan juga dikesan masih mempunyai rekod dan berada dalam tempoh pengawasan AADK.

“Latar belakang dia kita tak tahu, dia hanyalah pemandu ganti untuk pemandu yang tiada. Kita buat pemeriksaan tadi… dia gagal dan ditahan.

“Memang dia pemandu bas sebelum ini, sebenarnya dia dalam tempoh pengawasan AADK juga. Bas yang sepatutnya bergerak jam 10 malam terpaksa ditangguhkan seketika bagi menukar pemandu lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata untuk operasi berkenaan sebanyak 326 bas dan seramai 122 pemandu telah diperiksa di terminal berkenaan.

Beliau berkata, setakat 6 Mei, JPJ Melaka telah memeriksa sebanyak 944 buah kenderaan menerusi op berkenaan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 174 buah kenderaan telah diambil tindakan, manakala sebanyak 203 notis atau kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan meliputi ubah suai kenderaan, cermin gelap, insurans tamat tempoh dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

817
Kongsi :
Previous post Ramai kena tipu beli durian secara dalam talian
Next post Mayat reput ditemui dalam rumah pusaka
Ubah saiz-+=