Op Selamat: Perak Rekod 1,160 kes kemalangan dalam tempoh seminggu
IPOH, 6 Mei – Perak merekodkan 1,160 kes kemalangan membabitkan 15 kematian menerusi Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri sejak dilaksanakan Jumaat lepas sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Supt Azizan Hassan berkata penunggang dan pembonceng motosikal merupakan mangsa kemalangan maut yang paling tinggi direkodkan iaitu sebanyak sembilan kes sepanjang tujuh hari pelaksanaan operasi berkenaan.
“Antara lokasi yang sering berlaku kemalangan ialah di jalan bandaran iaitu sebanyak 344 kes diikuti jalan Persekutuan 299 kes; lebuh raya pula 243 kes; jalan negeri 166 kes serta lain-lain jalan 108 kes.
Ini merupakan satu angka yang membimbangkan, justeru hari ini kami menjalankan satu operasi bersepadu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri bagi mengawal angka (kemalangan) tersebut daripada terus meningkat khususnya penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Op Bersepadu sempena Op Selamat 18 di Jalan Maxwell di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azizan berkata sebanyak 9,975 saman dikeluarkan sepanjang Op Selamat sehingga semalam dengan kesalahan tertinggi adalah memandu melebihi had laju.
“Antara kesalahan tertinggi adalah membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju iaitu 2,972 saman diikuti lain-lain kesalahan seperti parkir, insurans, abai peraturan lalu lintas dan tiada lesen memandu.
“Daerah yang paling banyak dikeluarkan saman adalah di daerah Ipoh diikuti Taiping,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.