70,000 pengunjung dijangka hadir rumah terbuka Aidilfitri PM, Jemaah Menteri Ahad ini
PUTRAJAYA, 6 Mei – Seramai 50,000 hingga 70,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli Jemaah Menteri Ahad ini (8 Mei) bermula 10 pagi hingga 4 petang, di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana di sini.
Pengarah Pengurusan Pejabat Perdana Menteri Mohd Sabri Seman berkata seramai 200 petugas melibatkan jawatankuasa Kementerian Kesihatan (KKM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dan keselamatan bagi memastikan majlis berjalan lancar.
“Sebanyak 20 khemah disediakan di luar Kompleks Seri Perdana untuk pengunjung yang berbaris dan menunggu giliran untuk masuk ke majlis serta kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Orang awam digalakkan memakai pelitup muka dan beradab untuk melakukan pergerakan selepas menjamu selera bagi memberi peluang kepada pengunjung lain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Sabri berkata Perdana Menteri akan beramah mesra dengan para tetamu sehingga majlis selesai pada 4 petang dan pengunjung dinasihati supaya hanya berlegar dan bergambar di tempat yang dibenarkan sahaja.
Beliau berkata atur cara majlis telah disusun dan dirancang oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) apabila Perdana Menteri meluahkan hasrat untuk mengadakan majlis rumah terbuka bersama rakyat.
Katanya antara program yang dirancang adalah persembahan bagi memeriahkan majlis tersebut yang bertemakan suasana kampung.
Beliau turut menasihati orang awam menggunakan perkhidmatan bas secara percuma yang disediakan oleh Bas Putrajaya bermula 9 pagi dari tiga lokasi, iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra dengan kekerapan setiap 20 minit.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.