Sorting by

×

Feri Dumai leraikan rindu ibu dan anak

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mei – Sejak awal pagi Masrika Sukeme, 44, gelisah dan tidak sabar menunggu ketibaan feri dari Dumai yang dijangka tiba di jeti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana jam 12.20 tengah hari tadi.

Apa tidaknya feri berkenaan membawa penumpang istimewa bagi wanita ini iaitu anak sulungnya, Syafiq Aditya Ababil, 22, selepas tidak bersua hampir tiga tahun sejak 2019.

Masrika yang ceria dapat menatap semula wajah anak terunanya itu berkata, meskipun dibesarkan dan bersekolah hingga tingakatan lima di Malaysia Syafiq kerap pulang ke Indonesia untuk berjumpa neneknya.

Katanya, penutupan pintu sempadan antarabangsa akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan Syafiq tidak dapat pulang ke Malaysia dan tinggal bersama neneknya di Indonesia.

Dia yang menetap di Kampung Melayu Subang, Selangor sanggup datang bersama suami, Siyatno Harun, 54 dan dua lagi anaknya sejak seawal pagi tadi ke negeri ini selepas mendapat tahu feri yang membawa anaknya akan berlabuh di Melaka.

“Kami sangat teruja, saya dan suami bersama-sama dua lagi anak kami bertolak seawal pukul 6 pagi dari Selangor untuk ke sini, menjemput anak sulung yang dari Dumai.

“Sepanjang pintu sempadan ditutup kami hanya berhubung menggunakan menerusi WhatsApp dan apabila dapat tahu feri sudah boleh beroperasi kami terus membeli tiket untuk anak,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Ketibaan ICQS, di sini hari ini.

SUASANA DI Kompleks ICQS Kota Laksamana kembali meriah selepas perkhidmatan antara Dumai dan Melaka beroperasi semula. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu suasana lengang di ICQS yang tidak beroperasi hampir dua tahun kembali meriah selepas ketibaan feri Indomal Kingdom membawa seramai 175 penumpang.

Penumpang feri dalam kalangan warganegara Indonesia yang ditemui datang ke Melaka untuk berjumpa saudara-mara yang sudah lama terpisah selain mendapatkan rawatan di beberapa pusat perubatan di negeri ini.

EDI Wirianto. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi Edi Wirianto, 66, pusat perubatan di negeri ini menjadi pilihannya kerana perkhidmatan disediakan amat memuaskan hatinya.

“Saya mula menjalani rawatan susulan di pusat perubatan di negeri ini sejak 1998 lagi kerana masalah urat. Akibat penutupan sempadan saya terpaksa tangguhkan rawatan.

“Hari ini saya cukup gembira kerana dapat menyambung semula rutin berkenaan,” katanya.

PENUMPANG baru tiba menjalani pemeriksaan di kaunter Jabatan Imigresen. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, feri pertama yang tiba di ICQS di sini selamat berlabuh di Melaka telah disambut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron.

Ketibaan delegasi dari negara republik itu juga turut dihadiri, Gabenor Riau, H Syamsuar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Melaka sasar 62,000 kemasukan pelancong Indonesia menerusi jalan laut
Next post Haji: Penerbangan pertama pada 31 Mei
Ubah saiz-+=