Terima kasih ‘abang trafik’
TABOH NANING 5 Mei – Tugas polis bukan hanya menjaga keselamatan rakyat dan lalu lintas, bahkan lebih besar daripada itu.
Ia dibuktikan oleh anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang kelihatan membantu sebuah kereta yang mengalami kerosakan di Plaza Tol Simpang Ampat semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu, kejadian itu berlaku ketika dua anggota trafik Alor Gajah iaitu Sarjan Latiff dan Konstabel Azoezi bertugas mengawal lalu lintas pada Op Selamat 18.
Katanya, kedua-dua mereka yang turut dibantu Inspektor Riduan dan Lans Koperal Nelson telah membantu menolak kereta jenis Perodua Myvi yang mengalami kerosakan bateri.
“Keutamaan JSPT adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan jalan raya sentiasa di tahap yg terbaik, terutamanya dalam tempoh Op Selamat 18 ini.
“Ketika dalam penugasan kawalan lalu lintas, pasukan Trafik Alor Gajah Sarjan Latiff dan Konstabel Azoezi telah membantu sebuah Perodua Myvi yang mengalami kerosakan bateri dan menghalang lalu lintas di hadapan Keluar Tol Simpang Ampat,sambil dibantu oleh Inspektor Riduan dan Lans Koperal Nelson yang mengawal lalu lintas.
“Keprihatinan dan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan JSPT Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.