Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bemban diraikan masyarakat pelbagai kaum
BEMBAN 4 Mei – Rumah Terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kompleks (JAPERUN) Bemban, di sini, hari ini bukan sahaja disambut dengan penuh kemeriahan, malah menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan pemimpin negeri.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Wira Hassan Abd Rahman berkata, lebih istimewa apabila Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman turut hadir pada majlis itu.
Terdahulu majlis dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Hassan berkata, sambutan Aidilfitri kali ini amat meriah, setelah hampir dua tahun berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, majlis bermula jam 10 pagi tadi tidak putus-putus menerima kehadiran masyarakat membabitkan pelbagai bangsa, pemimpin peringkat komuniti dan negeri.
“Alhamdulillah Aidilfitri tahun ini akhirnya dapat disambut dengan sempurna setelah hampir dua tahun berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19.
“Pihak kami akan sentiasa memfokuskan program kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang, sekali gus mencapai hasrat kita dalam menyatupadukan masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Selain menikmati pelbagai judah tradisi tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian bertemakan hari raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.