Seronok beraya, jangan abai SOP, keselamatan diri – KM

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BUKIT PALAH 2 Mei – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menasihatkan rakyat Melaka khususnya supaya mengutamakan keselamatan diri dalam keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun aktiviti kunjung mengunjung sudah dibenarkan dan juga prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan kerajaan namun masyarakat diingatkan untuk tidak mengambil mudah hal membabitkan keselamatan diri mereka.

“Kepada seluruh rakyat Melaka saya memohon apabila kita dibenarkan untuk berkunjung bersalam-salaman saya harap menjaga kesihatan diri.

“Ia kerana pandemik masih belum berakhir. Jaga keselamatan diri,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim, hari ini.

Menurutnya, keselamatan ketika di jalan raya juga perlu diberi keutamaan dengan jumlah kenderaan dijangka meningkat susulan aktiviti ziarah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Mereka yang akan berhari raya ataupun pulang ke kampung dengan menaiki kenderaan saya pohon sekaliagi hati-hati di jalan raya.

“Dalam kita menyambut hari gembira dan kemenangan ini selepas sebulan kita menahan lapar serta dahaga jangan jadi sebarang perkara yang tidak baik,” katanya.

Sulaiman berkata, meskipun sambutan Aidilfitri disambut lebih awal namun segala persiapan untuk menunaikan solat sunat berjalan lancar di semua masjid dan surau yang dibenarkan.

“Saya difahamkan masjid dan surau yang dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri ramai yang datang.

“Malah pasar-pasar juga dikatakan turut beroperasi sehingga pagi tadi bagi memberi peluang untuk membeli barangan untuk sambutan hari raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Peniaga lemang berjaga hingga ke pagi siapkan tempahan
Next post Aidilfitri: Peniaga santan berdepan kerugian sehingga RM10,000
Ubah saiz-+=