Sorting by

×

Lelaki galas amanah jaga anak angkat OKU, ipar sakit kronik

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

ASAHAN 1 Mei – Bukan mudah menjaga ahli keluarga yang juga orang kurang upaya (OKU) dan sakit kronik, lebih-lebih lagi tanpa isteri kesayangan yang merupakan tunggak kekuatan diri telah pergi buat selama-lamanya.

Sejak kematian isteri, Faridah Karim pada Januari lalu, menjaga insan istimewa yang juga anak angkat mereka, Miradiatul Shafikah Abdullah, 11, digalas dengan penuh tanggungjawab oleh Hairul Asmawi.

Tidak hanya menjaga anak angkat yang juga OKU lemah pembelajaran, Hairul, 56, juga tetap setia memenuhi keperluan dua iparnya yang menderita sakit kronik dan OKU pendengaran di rumah mereka di Kampung Simpang Bekoh.

Hairul

“Selagi saya sihat, inshaAllah saya akan tetap laksanakan amanah yang ditinggalkan isteri untuk menjaga anak kami dan kepentingan kakak dan adik arwah.

“Biarpun sukar dan kami sering dilanda masalah kewangan namun amanah menjaga mereka tetap saya laksanakan, itulah janji pada arwah isteri,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di rumahnya.

Menurut Hairul, selain anak angkat dan dua iparnya, kediamannya juga dihuni bersama bapa dan ibu mertuanya yang kini telah uzur.

Katanya, anak angkatnya itu yang dipelihara sejak bayi lagi kini mengikuti pembelajaran di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Chabau Jasin dan mendapat bantuan RM150 sebulan.

Ditanya tentang persiapan menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, menurut Hairul, dia bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu membeli kelengkapan Hari Raya untuk anak angkatnya.

“Baru-baru ini Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) ada membeli pakaian dan memberi duit Raya kepada anak maka dapatlah anak beraya dengan meriah tahun ini,” katanya.

Fairul Nizam memerhati kontraktor membuat ukuran kerosakan bumbung rumah Hairul di Kampung Simpang Bekoh.

Keperitan hidup yang dihadapi Hairul sekeluarga turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan yang kemudiannya mengenal pasti beberapa bantuan segera yang perlu disalurkan kepada keluarga berkenaan.

Katanya, anak angkat dan kakak ipar Hairul telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini pihaknya sedang mengusahakan bantuan yang sama untuk bapa mertua serta adik ipar lelaki itu yang menghidap sakit kronik.

“Kita juga telah mengarah kontraktor untuk membaiki kerosakan bumbung pada bahagian dapur rumah keluarga ini bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

929
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Tiada cuaca signifikan, ekstrem dijangka berlalu
Next post Zii Jia ungguli Kejohanan Badminton Asis 2022
Ubah saiz-+=