Sorting by

×

Pengurusan sampah bazar Ramadan, Aidilfitri perlu ditambah baik – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT RAMBAI 30 April – Sistem pengurusan sampah di bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini perlu ditambah baik susulan aduan orang ramai mengenai kewujudan sampah longgok di lokasi terbabit.

EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan berkata, antara punca berlakunya isu tersebut adalah disebabkan waktu pengurusan sampah yang tidak diurus dengan baik oleh pihak penganjur.

Beliau bagaimanapun berjanji masalah berikut akan diselesaikan sewajarnya dalam menjaga imej negeri Melaka dan keselesaan orang awam.

“Kita ambil maklum aduan yang diberikan dan kita merasakan perlunya ada pembaharuan dalam proses pengurusan sampah.

“Jadi, saya melihat terdapat banyak ruang untuk kita memperbetulkan kesilapan, antaranya dalam kes sampah longgok seperti ini yang mana ia mungkin berlaku disebabkan penganjur lambat mengambil tindakan.

“Jadi, daripada aduan ini, kita akan mengkaji bagaimana untuk menguruskan sampah bazar Ramadan dan Aidilfitri juga melibatkan pasar malam dan pagi bagi membolehkan kita mencari kaedah terbaik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Zaidi Attan bergambar bersama tetamu yang hadir ketika mengadakan walkabout di Melaka Grand Ramadan Bazaar, Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan aduan peniaga premis dan pekerja pejabat di Klebang Utama yang meluahkan rasa kecewa dengan keadaan ruang legar kawasan itu yang menjadi tempat longgokan sampah.

Sampah-sampah itu didakwa berpunca daripada penganjuran Bazar Aidilfitri Klebang yang memperlihatkan ada segelintir peniaga dan pengunjung membuang sampah sesuka hati hingga mencacatkan pemandangan dan menimbulkan pencemaran bau.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, dalam memastikan kutipan sampah di kawasan tapak bazar dan pasar ditambah baik, pihaknya turut meneliti cadangan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih pengurusan sampah di kawasan tersebut.

“Jika ia diserahkan kepada PBT mungkin proses kutipan sampah dapat dipercepatkan kerana sampah-sampah yang ada ini bukanlah sampah domestik, sebaliknya sampah komersial yang boleh kita urus,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1540
Kongsi :
Previous post Suburkan penghayatan al-Quran di Melaka – EXCO
Next post Keluarga Malaysia dijemput hadiri Rumah Terbuka PM, jemaah menteri 8 Mei ini
Ubah saiz-+=