Sorting by

×

Melaka bakal perkenal bazar Ramadan, Aidilfitri untuk peniaga asnaf tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT RAMBAI 30 April – Kerajaan negeri bakal memperkenalkan konsep bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk peniaga asnaf pada tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan berkata, penumpuan itu diberikan dalam usaha membantu golongan asnaf menjana pendapatan, sekali gus membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Katanya, menerusi cadangan itu, pihaknya sedang mengkaji harga tapak perniagaan yang lebih rendah, bersesuaian dengan kemampuan golongan berkenaan.

“Antara yang sedang kita lihat ketika ini ialah bagaimana untuk mewujudkan tapak perniagaan bagi asnaf yang juga memerlukan pendapatan menerusi perniagaan.

“Dengan tempat yang ada sekarang, mungkin usahawan-usahawan asnaf ini tidak mampu, jadi kita akan fikir bagaimana untuk menyediakan tapak yang lebih rendah kosnya supaya asnaf ini boleh terlibat sama dalam bazar Ramadan dan Aidilfitri.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan perkenalkan dua konsep, satunya ialah konsep bazar untuk asnaf dan satu lagi konsep bazar yang melibatkan semua kaum di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan pembukaan Baloy Wholesale Mart Bukit Rambai, hari ini.

Mengulas mengenai sambutan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, Zaidi berkata, sambutan yang diterima cukup luar biasa disebabkan lebih banyak kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Malah, katanya, strategi memecahkan peniaga-peniaga bazar di beberapa lokasi turut menunjukkan kejayaan apabila Bazar Hang Tuah yang dahulunya mati kembali mendapat sambutan meriah daripada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post Keluarga Malaysia dijemput hadiri Rumah Terbuka PM, jemaah menteri 8 Mei ini
Next post IPT tidak dibenar naikkan yuran – KPT
Ubah saiz-+=