Tak boleh potong gaji pekerja BDR – Saravanan

Masa Membaca:50 Saat

TAPAH, 29 April – Dasar gaji negara tidak membenarkan pemotongan gaji atau elaun pekerja yang bekerja dari rumah (BDR), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Beliau berkata pemotongan gaji tidak boleh dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Hari ini tiada halangan, majikan boleh minta mereka masuk ke pejabat. Tidak boleh mana-mana pihak kerja dari rumah tanpa persetujuan daripada majikan.

“Majikan dia membenarkan, maka tidak patutlah mereka hendak potong gaji. Kalau majikan tidak setuju dengan pekerja bekerja dari rumah, mereka boleh minta majikan datang ke pejabat. Jangan kita bagi kebenaran, kita pula potong gaji,” katanya selepas majlis berbuka puasa di sini semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang melihat kewajaran majikan memberikan gaji yang lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan jika pekerja memilih untuk BDR.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1058
Kongsi :
Previous post 10,000 peluang pekerjaan bakal diwujud melalui industri dron
Next post JPJ guna GoPro rakam kesalahan pengguna jalan raya
Ubah saiz-+=