ANIH Berhad jangka peningkatan kenderaan di Lebuh Raya Karak, LPT1 mulai esok
KUANTAN, 28 April – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan peningkatan kenderaan di kedua-dua lebuh raya tersebut mulai esok hingga 8 Mei ini sempena Aidilfitri.
Pengurus Besar, Kanan Ketua ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata bagi tempoh itu, peningkatan kepada 207,500 kenderaan harian dijangka di Lebuhraya KLK manakala LPT1 akan mencatatkan sebanyak 100,000 kenderaan sehari.
Sejak awal Ramadan, Radzimah berkata Lebuhraya KLK mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 145,231 pada setiap hujung minggu manakala 45,600 kenderaan direkodkan menggunakan LPT1.
“ANIH Berhad telah meningkatkan usaha untuk memastikan lebuh raya tersebut berada dalam keadaan baik dengan melakukan kerja pembaikan jalan raya dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah memandangkan aliran trafik ke Pantai Timur menunjukkan peningkatan ketara.
“ANIH Berhad juga sedang giat meningkatkan kemampuan tenaga kerja bagi menyediakan perkhidmatan terbaik demi memastikan kesesakan musim perayaan dapat dikurangkan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Antara langkah yang dilakukan ialah menambah bilangan jurutol seiring dengan penambahan lorong di plaza tol daripada 100 kepada 151 lorong, mengedarkan cadangan waktu perjalanan, meningkatkan kekerapan rondaan pasukan LPT Ronda dan mempercepatkan tempoh masa tindak balas di lebuh raya selain sedia mengaktifkan laluan kontra jika berlaku kemalangan.
Walaupun pengecualian bayaran tol diberikan pada waktu tertentu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, ANIH Berhad mengingatkan pengguna agar menyentuh kad Touch n’Go pada alat pengesan di lorong tol bagi tujuan pengesahan keluar masuk lebuh raya dalam tempoh ditetapkan bagi menikmati pengecualian itu.
Bagi cadangan waktu perjalanan, Radzimah berkata untuk tempoh tiga hari bermula 30 April, pemandu yang hendak ke Pahang dicadangkan masuk ke lebuh raya antara 10 pagi dan 2 petang atau 8 malam hingga 11 malam, manakala cadangan bagi pengguna untuk ke Terengganu dan Kelantan adalah pada 6 hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.
Sementara untuk perjalanan pada 7 dan 8 Mei, mereka dari Pahang dicadang masuk ke lebuh raya pada 6 pagi hingga 10 pagi dan 7 malam hingga 10 malam, Terengganu (8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam) dan Kelantan (6 petang hingga 8 malam atau 10 malam hingga 12 tengah malam).
Pengguna lebuh raya juga boleh merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik atau Facebook@Lembaga Lebuhraya Malaysia serta @Lebuhraya Pantai Timur atau menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700 untuk maklumat lanjut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.