Polis belum terima laporan isu babi hilang
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Ruslan Khalid berkata pihaknya akan meneruskan siasatan lanjut sekiranya menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit.
“Setakat ini belum ada lagi terima laporan polis dan kita akan semak berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pada Isnin lepas media melaporkan kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di lokasi tersebut, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.
Sementara itu, Ruslan berkata seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu, pada 10 April lepas dan masih bebas sudah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis dan usaha mencari lelaki itu giat dijalankan.
Sebelum ini, media melaporkan polis giat memburu seorang daripada tujuh banduan iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dengan nama gelaran Umai yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan ini, boleh salurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.
Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.
Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.