Sorting by

×

Program pembasmian kemiskinan ambil kira pelbagai faktor – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Program pembasmian kemiskinan di negara ini dilakukan bukan sahaja mengambil kira soal kaum dan bangsa, tetapi juga fakta-fakta lain dalam usaha mewujudkan peluang yang adil dan saksama kepada semua rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan kekayaan dapat diagih dan dinikmati secara bersama.

“Dasar kerajaan Perikatan Nasional adalah untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan secara menyeluruh dan ini mengambil kira perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera, wilayah dan bukan wilayah termasuk di Sabah dan Sarawak dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan pada masa lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Razali Idris mengenai inisiatif kerajaan dalam mengatasi masalah kemiskinan di negeri seperti Kelantan, Teregganu, Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin berkata penekanan kerajaan kepada usaha membangunkan sosioekonomi bumiputera tidak bermakna kerajaan mengabaikan golongan bukan bumiputera dan kerana itu, kerajaan mewujudkan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Bumiputera adalah sebahagian besar daripada populasi di negara ini iaitu hampir 70 peratus. Ini menyebabkan kerajaan menumpukan kepada mereka demi membangunkan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Perdana menteri bagaimanapun berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah setiap kaum dan tidak akan mengabaikan mana-mana golongan, khususnya dalam soal kemiskinan.

“Kita tidak boleh biarkan bukan bumiputera miskin dan hanya Melayu (bumiputera) kita kayakan…tidak boleh. Kita mesti ada satu dasar yang adil untuk semua kaum di negara ini,” katanya.

Views:

276
Kongsi :
Previous post Dilarang ‘fist bump’
Next post Dewan Negara bahas usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah petang ini
Ubah saiz-+=