Sorting by

×

26,159 orang Melaka pernah ‘check in’ PKRC MITC

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 27 April – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Melaka (PKRC MITC) yang hampir setahun dibuka telah menempatkan seramai 26,159 pesakit COVID-19 di negeri ini.

EXCO Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu membabitkan majoriti pesakit dari daerah Melaka Tengah iaitu sebanyak 47.6 peratus, diikuti Alor Gajah (33.6 peratus), Jasin (18.79 peratus) dan Tangkak, Johor (0.01 peratus).

Katanya lagi, pecahan juga menunjukkan seramai 50.6 peratus atau 13,259 pesakit adalah golongan lelaki, manakala 49.4 peratus atau 12,900 adalah wanita termasuk 507 daripadanya ibu mengandung.

Tambahnya, PKRC berkenaan juga telah menempatkan seramai 2,099 warga emas dan 2,250 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sejak ia mula dibuka pada 21 Mei 2021, ia

Jelas Muhamad Akmal, sepanjang operasinya, PKRC MITC telah melibatkan petugas daripada pelbagai agensi kerajaan negeri.

Ia termasuklah 315 petugas kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Akhirnya, selepas hampir setahun dibuka, tanggal 30 April bakal menjadi tarikh keramat apabila PKRC MITC akan ditutup secara rasmi.

“Kita harap biarlah PKRC ini jadi yang pertama dan terakhir dibuka di Melaka.

“Jika berlaku peningkatan kes COVID-19 di masa akan datang, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sudah mempunyai perancangan seterusnya dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan PKRC MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abdul Rahman, Pengarah APM Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra, Pengarah PKRC MITC Dr Abdul Karim Abdul Rahman dan petugas-petugas terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1171
Kongsi :
Previous post KJ dijangka umum kelonggaran SOP COVID-19 petang ini
Next post Tajuk-Tajuk Utama Berita: Rabu 27 April 2022
Ubah saiz-+=