‘Ubah cara kerja’
MELAKA 7 Sept. – Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan perlu bersedia memberikan sebab dan alasan munasabah sekiranya gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) memastikan program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 dilaksana mengikut perancangan.
Menurut Sinar Harian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata, alasan yang diberikan itu akan dipertimbangkan jawatankuasa yang dianggotainya dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman serta beberapa ahli yang dilantik.
Jelasnya, perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan KPPA susulan banyak program atau projek pembangunan yang dirancang gagal dilaksanakan seperti yang dijadualkan.
“Jadi, kalau kita masih bergerak mengikut cara kerja lama seperti yang dikatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita khuatir program yang ada tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan.
“Untuk itu, kita hendaklah bergerak dengan pantas dan berubah daripada cara kerja lama,” katanya lapor akhbar Sinar Harian, hari ini.
Jelas Mohd Zuki, walaupun penjawat awam tidak terkesan dengan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) atau Covid-19, mereka juga perlu bersama membantu menggerakkan ekonomi.
“Kalau kita masih lagi bergelut dan terikat, kita gunakan alasan tatacara kerja kita yang lama, maka kita khuatir tempoh yang diperlukan nak gerakkan ekonomi akan lebih panjang kerana kita dah tertangguh berapa lama,” katanya.