Pengarah syarikat, penganggur nafi sogok juruteknik TNB

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 26 April – Dua individu termasuk pengarah syarikat nafi memberi rasuah kepada juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Kedua-dua tertuduh iaitu Tey Boon Sin, 33, dan penganggur Leang Tin Sheng, 43, mengaku tidak bersalah sejurus kesemua 10 pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Boon Sin yang berhadapan empat pertuduhan didakwa secara rasuah memberi suapan bernilai RM68,500 kepada juruteknik TNB yang bertugas di unit ‘special engagement against loses’ (seal) zon selatan.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukannya dibawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan di empat lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah antara 6 Okt 2021 hingga 18 Jan lalu.

Tertuduh Tin Sheng pula, didakwa atas enam pertuduhan menyogok individu sama sebanyak RM 27,000 bertujuan mendapatkan maklumat premis yang telah diserbu dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Kesalahan itu juga dilakukan tertuduh di beberapa lokasi berasingan sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 13 Ogos 2021 hingga 18 Jan lalu.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat manakala Boon Sin diwakili peguam Ishak Mohd Kari dan Tin Sheng tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujah kesemua pihak mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM 15,000 terhadap Boon Sin manakala RM 10,000 terhadap Tin Sheng.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan kedua tertuduh menyerahkan passport serta melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali, selain menetapkan 24 Mei depan sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1313
Kongsi :
Previous post Melgrab capai sasaran pengunjung
Next post Skuad Cakna Kasih Ramadan ubah imej Mahkamah Syariah Melaka
Ubah saiz-+=