Insentif sara hidup ceriakan Aidilfitri 327 nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – Dalam kemelut pengguna bergelut dengan kenaikan harga barang sekarang, 327 nelayan hari ini mengukir senyuman lebar apabila menerima insentif sara hidup berjumlah RM250 masing-masing hari ini.

Meskipun insentif itu tidak banyak, namun ia membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri, apatah lagi dalam keadaan hasil tangkapan semakin berkurangan sejak sebulan lalu.

Nelayan, Zakaria Hamzah, 68, berkata wang berkenaan sedikit sebanyak membantunya membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Sekarang daging mahal, RM35 sekilogram dan dengan adanya duit itu, dapatlah saya beli daging dan ayam untuk Aidilfitri,” katanya selepas menerima sumbangan berkenaan di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara, di sini .

ZAKARIA

Sumbangan itu disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahmah dan EXCO Perindustrian Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan yang baharu Mohd Sufian Sulaiman dan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon.

Bagi Abdul Latif Gedik, 72, sejak sebulan lalu hasil tangkapan merosot berikutan perubahan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya yang menyebabkannya terpaksa menggunakan wang simpanan.

“Alhamdulillah, wang yang saya terima hari ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk belanja menjelang Aidilfitri,” katanya.

ABDUL Latif

Mohd Shukri Roslan, 31, berkata walaupun tidak banyak, wang berkenaan sekurang-kurangnya meringankan bebannya membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan tumpuan utama diberikan untuk membeli daging dan ayam.

Mohd Ali Abu Bakar, 54, berkata sumbangan itu menceriakannya kerana sejak dua minggu lalu hasil tangkapan ikan menurun, sekali gus menyebabkan poketnya semakin kempis.

“Dengan adanya RM250 ini dapatlah saya beli beras dan daging untuk menyambut Hari Lebaran dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin nasib nelayan,” katanya.

Abdul Rahim Azali, 36, berkata Aidilfitri kali ini memerlukan dia menyediakan perbelanjaan lebih besar berikutan kenaikan harga barang dapur, selain ayam yang sekarang berharga RM8.90 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini.

Pembayaran RM250 hari ini adalah kali kedua selepas kali pertama pada Januari lalu manakala yang ketiga dan keempat sebelum Oktober depan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM1,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

843
Kongsi :
Previous post Warga emas didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kucing
Next post Tan Sri Ali Hamsa merupakan cikgu saya – Mohd Zuki
Ubah saiz-+=