Sukan Sea: Sasaran 31 pingat emas realistik – Ahmad Faizal

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

IPOH, 24 April – Sasaran 31 pingat emas ditetapkan pada temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam adalah realistik dan berdasarkan kepada penelitian khusus yang dilakukan pelbagai pihak, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, beliau berkata bilangan pingat emas itu mampu ditingkatkan dengan semangat jitu para atlet negara.

“Sasaran ini bukan secara suka-suka, ia dibuat melibatkan penilaian pelbagai perkara termasuk pertimbangan terhadap prestasi atlet negara lain yang bertanding pada temasya kali ini.

“Walaupun saya sendiri berharap kita dapat rangkul lebih daripada sasaran pingat emas yang ditetapkan, namun ia bergantung sepenuhnya kepada usaha dan semangat atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia negeri Perak di sini hari ini.

Penganalisis sukan Dr Pekan Ramli sebelum ini dilapor berkata sasaran 31 pingat emas dilihat sebagai satu langkah selamat dan sewajarnya ditingkatkan berdasarkan penyertaan 612 atlet negara pada temasya yang dijadual berlangsung pada 12 hingga 23 Mei.

Justeru, Ahmad Faizal berharap para atlet negara memberikan sepenuh penumpuan dalam meningkatkan prestasi bagi menghadapi temasya itu serta kejohanan lain yang lebih besar.

“Saya gesa setiap atlet untuk berusaha bersungguh-sungguh agar mereka dapat sekurang-kurangnya memperbaiki keputusan peribadi masing-masing.

“Ini kerana momentum itu dilihat amat penting dalam memberi tonik untuk dibawa ke kejohanan yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan juga perlu yakin dengan kemampuan atlet negara meskipun terdapat sukan yang menghantar muka-muka baharu bagi tujuan pendedahan pada temasya kali ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

851
Kongsi :
Previous post APMM tahan 21 nelayan Vietnam di perairan Mersing
Next post Bot persiaran hilang di Jepun, 4 mangsa ditemukan
Ubah saiz-+=