Politeknik Merlimau agih 4,000 bubur lambuk
MERLIMAU 24 April – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengagihkan sebanyak 4,000 bungkus bubur lambuk kepada kepada orang ramai pada program Imarah Ramadan yang berlangsung lada pada Jumaat.
Pengarah PMM Norizam Sekak berkata, seramai 224 pelajar termasuk pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti terbabit dalam menyediakan bubur lambuk itu.
Katanya, selain warga PMM, program memasak bubur lambuk perdana itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) Melaka.
“Sebanyak 10 periuk besar bubur lambuk dimasak oleh pensyarah yang sebelum ini pernah menjuarai pertandingan masakan itu dan mereka ini ditugaskan untuk memastikan kualiti masakan bubur yang dimasak.
“Alhamdulillah ini antara kepakaran yang PMM ada bagi memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya di kawasan Merlimau ini,” katanya.
Hadir sama pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh dan juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Dasar PTPTN, Umikalsom Mohd Yusoh.
Menurut Norizam, bubur lambuk yang siap di masak itu kemudian diagihkan kepada orang ramai termasuk dihantar ke surau dan masjid serta agensi kerajaan di sekitar Merlimau.
“Selain itu kita turut edarkan dalam kalangan warga PMM serta PTPTN, seperti kita tahu bubur lambuk ini sinonim dengan bulan Ramadan.
“Menerusi program ini ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama warga PMM sendiri malah dengan agensi kerajaan dan penduduk setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.