Gelinciran tanah resahkan ibu bapa SKSE

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TABOH NANING 21 April – Gelinciran tanah berhampiran blok bangunan Sekolah Kebangsaan Simpang Empat (SKSE), di sini, didakwa semakin serius meresahkan 465 murid dan 37 guru sekolah itu.

Masalah itu didakwa berpunca daripada kerja menarah tebing berhampiran sekolah oleh pemaju projek perumahan dua tahun lalu.

Permasalahan itu disuarakan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSE, Taufik Abdul Rahman, berikutan runtuhan berlaku hanya beberapa meter dari bangunan Blok C dan kantin.

Taufik mendakwa sejak pembinaan 16 unit rumah dimulakan berhampiran sekolah itu dua tahun lalu, runtuhan tebing semakin merebak hingga terlalu hampir dengan bangunan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah memberi arahan supaya keseluruhan Blok C yang menempatkan tujuh kelas dan 210 murid dikosongkan mulai Mac lalu.

“Kami ibu bapa amat kecewa apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah mengeluarkan kenyataan, Blok C tidak akan digunakan selagi JKR tidak mengeluarkan kenyataan ia selamat diduduki.

“PPD itu juga mengeluarkan arahan sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran yang sudah bermula Isnin lalu tidak dilaksanakan di sekolah ini, kecuali murid tahun Satu dan Enam yang diberikan keutamaan bersekolah tanpa bergilir.

“Runtuhan dikhuatiri semakin serius berikutan musim hujan yang melanda ketika ini,” katanya ketika meninjau lokasi terjejas di sekolah itu hari ini bersama Naib YDP PIBG, Mohd Nor Firdaus Razuan dan ahli jawatankuasa (AJK) SKSE, Mohd Taro Jaafar.

TAUFIK (kiri sekali) berbincang dengan AJK PIBG SKSE di SKSE, Alor Gajah.

Akibat arahan mengosongkan bangunan Blok C pihak pentadbiran sekolah terpaksa menempatkan murid di perpustakaan, bilik reka bentuk dan teknologi (RBT) serta bilik tayangan.

Namun, 70 murid pra sekolah dalam dua kelas masih ditempatkan di Blok C berikutan ketiadaan bangunan lain yang mampu dimanfaatkan sebagai kelas.

“Sudah beberapa kali masalah ini dirujuk ke PPD Alor Gajah, Jabatan Pendidikan Melaka, JKR dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Namun tiada satu pun jabatan mampu memberikan keputusan konkrit mengenai kaedah untuk mengatasi masalah membimbangkan kami ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, termasuk kerajaan negeri meneliti masalah berkenaan demi keselamatan dan pembelajaran yang sempurna untuk murid.

Sementara itu EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri akan meneliti aspek berkenaan dan berusaha mencari kaedah sesuai untuk mengatasinya demi keselamatan dan pembelajaran sempurna murid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Remaja maut, motosikal langgar Proton Saga
Next post PKRC MITC tutup hujung bulan ini
Ubah saiz-+=