Ibu Nagaenthran rayu selamatkan anaknya daripada tali gantung

Masa Membaca:54 Saat

SINGAPURA, 21 April – “Nagaenthran. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.”

Itulah kata-kata daripada seorang ibu Panchalai Supermaniam yang merayu agar anaknya warga Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.

Video pendek oleh pertubuhan hak asasi manusia, Reprieve, itu telah disiarkan oleh peguam Singapura M Ravi di hantaran Facebooknya.

“Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaentran akan dihukum gantung pada Rabu depan,” katanya dalam satu lagi catatan sebelum ini.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

Ravi telah memberikan bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

Nagaenthran berasal dari Perak, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

Nagaenthran, dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

978
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk utama akhbar: Khamis 21 April 2022
Next post Telur gred C di Melaka tidak cukup
Ubah saiz-+=