Sorting by

×

Program Ihya Ramadan UTeM, YaPEIM rai 500 pelajar berpuasa

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 April – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan sumbangan bernilai RM14,000 kepada pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi program Ihya’ Ramadan, baru-baru ini.

Sumbangan itu berupa 500 pek makanan berbuka puasa untuk 500 pelajar dan bantuan kewangan kepada 100 pelajar B40 UTeM yang diadakan di Pusat Persatuan Pelajar (PPP) Kampus Induk UTeM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, program anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM itu dapat membudayakan sifat mahmudah dalam diri setiap warga universiti khususnya dalam kalangan pelajar UTeM.

“Sumbangan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan pelajar B40 UTeM meneruskan pengajian mereka di kampus selain menzahirkan aspirasi tahun 2022 Pejabat HEP UTeM yang berfokus kepada kebajikan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Sumber Dana Sosioekonomi dan Amal Jariah YaPEIM, Dr Mohd Hafiz Fauzi berkata, sedekah merupakan salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih pahala yang besar pada bulan Ramadan.

“Semoga bantuan yang diperolehi ini dapat menjadi pembakar semangat para pelajar UTeM untuk terus berjaya dalam pengajian masing-masing,” katanya.

Program itu turut diserikan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Wan Mohamad Firdaus Wan Faizal, pelajar tahun dua UTeM serta perkongsian tazkirah yang disampaikan Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Sumber Dana Sosioekonomi dan Amal Jariah YaPEIM sendiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1496
Kongsi :
Previous post WI mahu lebih ramai penyertaan bukan Melayu
Next post Empat peguam pemerhati dibenar ikuti prosiding bicara kes aniaya Bella
Ubah saiz-+=