Rumah baharu anugerah terindah Ramadan
AYER LIMAU 20 April – Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang menyediakan rumah baru untuk mangsa banjir besar pada 18 Dis tahun lalu dimulakan, semalam.
Dua pemilik rumah dalam daerah Masjid Tanah yang menjadi mangsa banjir, bertuah apabila dipilih sebagai penerima bantuan berkenaan.
Kedua-dua rumah itu dibina di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina di sini dengan kos seunit RM56,000 hasil peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Pejabat Pembangunan Negeri Melaka.
Mangsa banjir, Yusof Hassan, 72, dari Kampung Telok Berembang berasa amat bersyukur apabila kerja pembinaan dimulakan selepas menunggu sejak Dis.
“Alhamdulillah, pembinaan rumah baharu adalah anugerah terindah Ramadan dan saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membantu.
“Insya-Allah rumah ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan sementara menunggu ia siap, saya menumpang di rumah anak,” katanya ketika ditemui.
Yusof, bercadang menggunakan sisa rumah papan yang rosak teruk akibat banjir untuk membina stor perahu dan peralatan menangkap ikan.
Beliau berkata, walaupun struktur keseluruhan rumah papan itu masih wujud setakat ini, bahagian dalamannya sudah rosak teruk akibat ditenggelami air setinggi kira-kira tiga meter.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, banjir pada awal pagi 18 Dis lalu adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas tebing Sungai Rembau runtuh.
Bagaimanapun, Yusof dan anak lelakinya berusia 40 tahun serta dua cucunya yang menghuni rumah berhampiran kediamannya sempat menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus deras banjir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.