Sembunyikan getah beku dalam parit elak jadi sasaran pencuri menjelang Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 20 April – Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, penoreh getah terpaksa menyorokkan getah beku atau juga dipanggil ‘lantun’ di dalam parit bagi mengelakkannya menjadi sasaran pencuri tidak berhati perut.

Dua penoreh getah di sebuah kampung di sini terpaksa menyembunyikan 200 kilogram (kg) getah beku dalam parit berhampiran kebun masing-masing bagi mengelakkan hasil torehan mereka menjadi habuan pencuri.

Meskipun tidak semahal kelapa sawit getah beku tidak terlepas daripada menjadi sasaran pencuri yang mahukan wang mudah menjelang Aidilfitri.

Peraih getah beku yang hanya ingin dikenali sebagai Lan berkata, dia terkejut apabila kedua-dua penoreh berusia 40-an itu mengarahkannya membawa lori masuk jauh ke dalam kebun getah.

“Selalunya saya hanya memungut lantun di tepi kebun tetapi hari ini (semalam) saya diarahkan supaya memandu jauh ke dalam kebun untuk memungut lantun.

“Rupa-rupanya penoreh berkenaan menyembunyikan lantun milik mereka di dalam parit,” katanya di pekan
Lubok Cina, dekat sini.

Lan berkata, 200 kg getah beku berkenaan adalah hasil torehan selama lima hari kedua-dua penoreh terbabit dan mereka terpaksa menutup lantun dengan daun.

GETAH beku atau lantun dikumpulkan penoreh sebelum
disembunyikan dalam parit dalam kebun getah di Masjid Tanah.

Katanya, dengan harga getah beku hari ini RM2.90 satu kg, penoreh terbabit membawa pulang RM580 sebagai wang belanja menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Sebelum ini pernah berlaku penoreh berputih mata apabila menyaksikan hasil torehan mereka sudah ghaib dilarikan penyamun,” katanya.

Dia mendakwa, penyamun menjalankan aktiviti pada sebelah malam bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan penoreh yang kebiasannya mengambil upah daripada pemilik kebun.

“Walaupun hasil torehan kadang kala tidak seberapa, ia tetap menjadi sasaran penyamun kerana ia adalah jalan mudah untuk mengaut keutungan daripada titik peluh orang lain, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1967
Kongsi :
Previous post Laman Cahaya Lebaran bangkit ‘mood’ raya
Next post Rewang masak lemak tempoyak
Ubah saiz-+=