INSWA atur pelbagai program bangkitkan kesedaran warisan Melayu
KLEBANG 5 Sept. – Pelbagai program telah dirangka dan dijalankan Institut Warisan Melaka (INSWA) dalam membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai kekayaan khazanah budaya dan warisan Melayu.
Pengurus Besarnya Nurman Mohd Baroldin berkata, meskipun dunia masih berperang dengan pandemik Covid-19 namun itu bukan penghalang buatnya dan tenaga kerja INSWA untuk mengadakan pelbagai bengkel untuk mendekatkan masyarakat mengenai budaya dan warisan negara agar mereka tidak hilang jati diri.
“Sebenarnya banyak program yang kita jalankan. Program itu diadakan sentiasa sebab ia penting untuk memantapkan jati diri kita agar ia tidak terhenti.
“Pelbagai jenis program seperti program penulisan pantun, bengkel Dondang Sayang, bengkel warisan makanan, bengkel ikatan samping dan setanjak telah kita adakan yang bertujuan memberi pendedahan dan teknik warisan budaya kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Bengkel Ikatan Setanjak, Tengkolok dan Destar sempena bulan kemerdekaan yang dianjurkan Belia 4B bahagian Tangga Batu dan Persatuan Rebana Keras Klebang Besar dengan kerjasama INSWA, Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka dan Youtube ARKIB DOT di Dewan Baitul Tariq, di sini, baru-baru ini.
Katanya, trend pemakaian tanjak yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda sememangnya sesuatu yang positif menunjukkan perubahan masyarakat yang semakin sedar terhadap seni warisan Melayu.
“Alhamdulillah, kalau lihat trend sekarang memang sudah nampak ada perubahan dalam masyarakat. Kalau dulu ramai yang agak menjauhkan diri dengan pakaian warisan tetapi sekarang nampaknya sudah berubah.
“Golongan muda pun nampaknya semakin mendekati trend ini yang mana bagi saya ia menunjukkan satu fenomena yang baik untuk kita memantapkan lagi jati diri kita,” katanya.