Penganjur bazar Jalan Hang Tuah nafi berkomplot kenakan caj tiket parkir
BANDARAYA MELAKA 17 April – Penganjur Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah menafikan pihaknya mengenakan caj parkir kereta di sekitar bazar terbabit.
Penganjurnya, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, pihaknya sama sekali tidak terlibat dengan individu atau pihak yang menggunakan nama Melgrab di atas tiket parkir yang dikenakan terhadap pengunjung bazar seperti yang tular baru-baru ini.
Namun, katanya dia mengenali pihak tersebut yang mengenakan caj parkir itu dan telah mengadakan pertemuan serta menasihati pihak terbabit untuk tidak melakukan hal sedemikian lagi.
“Di sini saya nak tekankan yang kita (penganjur) tidak pernah mengenakan sebarang caj terhadap pengunjung yang parkir kenderaan di dalam kotak mahu pun di luar kotak parkir.
“Perkara ini telah dibincangkan bersama pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tidak mengenakan sebarang caj, jadi kami memang mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
“Pihak yang mengutip parkir itu saya kenal mereka, namun kami telah berjumpa pada minggu lalu dan menasihati untuk tidak berbuat hal demikian kerana ia merosakkan nama kami sebagai penganjur, boleh saya katakan hal ini diluar pengetahuan kami pihak penganjur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata pihak MBMB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sering membuat pemantauan di sekitar bazar Melgrab bagi memastikan tiada lagi kutipan secara haram dilakukan.
“Kita semua nak cari makan, Ramadan setahun sekali, dan kali ini kita nak buat semuanya dengan lancar sahaja, tidak mahu bergaduh, jadi saya harap pihak tersebut tidak mengutip caj kepada pengunjung lagi.
“Saya beri jaminan tidak akan berlaku lagi pengutipan caj parkir di bazar Melgrab Jalan Hang Tuah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.