Rezeki Ramadan endemik, tempahan biskut raya meningkat tahun ini
BUKIT RAMBAI 17 April – Pada mulanya hanya ‘cuba-cuba’, tapi kini perusahaan membuat kuih raya menjadi sumber pendapatan utama bagi Nur Adda Azwa Arshat, 31.
Nur Adda Azwa berkata bermula dengan hanya menjual ‘cheese tart’ kini perniagaannya diperluaskan dengan menawarkan empat jenis kuih raya yang dihasilkan di rumahnya sejak 2019.
“Saya mula berniaga dengan menjual cheese tart dan kek saja, selepas setahun barulah saya berasa yakin untuk terima lebih banyak tempahan termasuk kuih raya.
“Sebenarnya yang memberi inspirasi pada saya untuk buat kuih raya sebab rasa bosan duduk rumah, daripada tiada apa-apa kerja saya fikir kena buat sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya ketika ditemui di Taman Bukit Rambai, di sini.
Suri rumah itu berkata, niatnya adalah mahu berkongsi rezeki dengan orang lain dan tidak mahu mengambil kesempatan dengan menjual kuih pada harga terlalu tinggi.
“Saya tawarkan empat jenis kuih raya seperti tart mawar, chocolate chip, oreo dan cornflakes, setiap balang ade lebih kurang 42 keping biskut dengan harga hanya RM30.
“Suami selalu berpesan kita niaga sebab nak bagi orang lain pun sama-sama rasa rezeki, kita jangan jual mahal sebab tak semua orang senang nak beli apa yang kita jual.
“Lagipun menjadi pembuat kuih ini legasi arwah ibu saya, ibu saya memang gemar membuat kek dan kuih raya…jadi ia menurun kepada saya mengikut jejak dia,” katanya.
Ibu kepada dua anak ini bersyukur apabila tempahan kuih raya tahun ini mendapat sambutan sehingga 300 balang hanya dalam masa tiga hari.
“Biasanya saya buka tempahan lima hari sebelum puasa dan awal puasa tutup ‘order’, tapi kali ini dalam masa tiga hari sahaja dah cecah 300 balang jadi saya terpaksa tutup tempahan.
“Mungkin kali ini semua dah dapat beraya dan balik kampung, jadi pelanggan buat tempahan lebih awal…jualan paling laris setiap tahun adalah tart mawar dan chocolate chip,” katanya.
Katanya, untuk menyiapkan 400 biji kuih raya dia memerlukan masa sehingga satu jam bagi memastikan kualiti dan rasa kuih tersebut mencapai kepuasan pelanggan.
“Untuk satu balang kuih raya bekas kecil boleh dapat 15 balang, kalau bekas besar boleh siap 10 balang sekali bakar. Satu ketuhar boleh bakar 400 biji kuih raya,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.