Pengendali makanan sekolah berdepan tindakan jika didapati punca keracunan
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak berhubung kejadian itu yang dipercayai menyebabkan beberapa pelajar mengalami cirit-birit.
“Sudah pasti kalau kita terima laporan lengkap daripada JKN dan ada kesalahan daripada pengendali makanan sekolah, tindakan sewajarnya akan diambil dalam usaha memastikan perkara ini tidak berulang kerana melibatkan isu kesihatan dan keselesaan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Baju Raya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak bersama anak-anak yatim di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Ahmad Saidi berkata pihaknya telah merujuk sekolah terbabit selepas kejadian itu tular menerusi media sosial bagi mendapatkan kesahihan dan menyiasat punca sebenar bagi membolehkan langkah mitigasi diambil.
“Setakat ini hanya sebuah sekolah dilaporkan terbabit kejadian keracunan makanan dan dikatakan ada ulat dalam makanan serta beberapa pelajar mengalami cirit-birit.
“Bagaimanapun pemeriksaan di klinik kesihatan mendapati keadaan pelajar terlibat tidak kritikal, jadi telah dibenarkan pulang ke asrama untuk menjalani rawatan seperti biasa cuma sekolah telah memberikan cuti tambahan,” katanya.
Isnin lepas, pengetua sekolah itu Ahmad Munawir Salehuddin dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi sekolah tersebut berkata pengurusan sekolah telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan pemantauan daripada warden.
Ia susulan tular seorang bapa meluahkan rasa terkilan, kecewa dan sedih apabila tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar di bilik sakit sekolah selama tiga hari sejak hari kejadian akibat keracunan makanan dan hanya diketahui selepas anaknya menghubungi beliau pada Jumaat lepas setelah keadaan beransur pulih.
Ahmad Munawir dilaporkan berkata simptom awal dikesan pada 6 April lepas selepas seorang pelajar Tingkatan 4 mengalami cirit-birit sebelum kes itu bertambah menyebabkan warden mengasingkan mereka yang terlibat di bilik sakit dengan pemantauan rapi selain memaklumkan perkara itu kepada polis melalui pegawai perhubungan sekolah.
Pada keesokannya, pengurusan sekolah telah mengumpul sejumlah lagi pelajar yang mengalami simptom sama untuk di bawa ke Klinik Kesihatan Greentown dan kesemua mereka telah didiagnosis sebagai tidak kritikal. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.