LKIM peruntuk RM1 juta edar ikan percuma bantu rakyat terkesan pandemik
BUKIT GANTANG, 16 April – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM1 juta bagi mengedarkan 1,000 kilogram ikan Q Fish (sejuk beku) secara percuma di semua kawasan Parlimen untuk membantu rakyat yang terkesan pandemik COVID-19.
Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata pemberian ikan secara percuma itu kerana kerajaan mendengar apa sahaja rintihan rakyat yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan ikan.
“Pagi tadi diadakan Jualan Keluarga Malaysia dan LKIM telah mengedar 300 kilogram kepada penduduk, selain membuat lelongan ikan harga mahal seperti ikan bawal emas, kembung dan sardin,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini, hari ini.
Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata ikan yang dilelong itu adalah jenis ikan mahal dan lelongan itu bertujuan agar rakyat merasai bantuan yang diberikan kerajaan untuk meringankan beban mereka.
Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin berkata harga ikan dijangka stabil menjelang bulan depan apabila nelayan bot dalam dan awak-awak asing sudah dibenarkan memasuki negara ini untuk bekerja menangkap ikan.
“Saya yakin harga ikan kembali stabil Mei ini berbanding sebelum ini harga ikan mahal. Musim tengkujuh juga sudah berakhir dan kapal-kapal sudah boleh ke laut,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.