Panjut buluh ‘Mak Ngah’ sinari Aidilfitri di Brunei, Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 April- Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih meriah buat sepasang suami isteri yang mengusahakan pembuatan pelita atau panjut menggunakan buluh apabila menerima tempahan ‘luar biasa’ termasuk daripad pelanggan di Singapura dan Brunei.

Berkongsi kisahnya, Kamsiah Khamis, 38, atau lebih mesra dengan panggilan Mak Ngah berkata pada minggu pertama Ramadan dia dan suami, Nazri Md Yusoff, 41, telah menerima tempahan hampir 1,000 batang pelita buluh.

Katanya, tahun ini juga dia bersama suami memasarkan produk hasil inovasi mereka buat julung kalinya iaitu ‘Pelita LED’ yang menggunakan bateri.

AKIBAT kekurangan tenaga kerja, pasangan ini tekad menyiapkan semua tempahan bersama Ramadan ini

“Tahun ini Alhamdulillah jualan sangat memberangsangkan kerana kita ada tiga jenis pelita buluh dengan satu inovasi terbaharu kami iaitu menggunakan lampu LED yang menggunakan bateri jam yang kecil sahaja.

“Dua lagi pelita panjut menggunakan sumbu biasa, satu lagi adalah pelita bertingkat. Proses menghasilkan pelita ini mengambil masa antara 15 hingga 30 minit.

“Kami jangkakan jumlah itu akan meningkat menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Nazri meluahkan rasa syukur kerana tempahan pelita buluh sepanjang lima kaki dijual pada harga RM15 setiap satu itu meningkat setiap tahun.

“Tahun ini kita hanya ambil tempahan mengikut kemampuan, keseluruhan proses membuat pelita kami berdua yang buat. Tebang buluh, potong ikut ukuran mengisi sumbu semua kami lakukan.

“Saya dan isteri biasanya mula siapkan tempahan seawal jam 8 pagi sampailah 6 petang, setiap hari kami mampu siapkan 50 batang pelita.

“Seminggu sebelum Ramadan kami sudah pos tempahan pelanggan di Brunei dan Singapura, alhamdulillah maklum balas pelanggan amat positif mereka puas hati terutama produk pelita LED kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1671
Kongsi :
Previous post Hadiah kuih raya sempena Aidilfitri
Next post SWM Environment rai 10 mualaf sambut Ramadan
Ubah saiz-+=