SUKMA XX: Melaka dijangka hantar 500 atlet

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERAMAI 500 atlet dijangka akan dihantar pada Sukan Malaysia Edisi ke-20 (SUKMA XX, MSN 2022) yang dijadual berlangsung di Lembah Klang, Sept depan, kata EXCO Sukan Negeri V P Shanmugam.

Beliau berkata, jumlah kontinjen yang dihantar itu meningkat berbanding edisi terdahulu berikutan terdapat 31 jenis sukan dijangka akan dipertandingkan.

“Jadi buat masa ini persiapan telah bermula yang mana kita telah memanggil semua persatuan-persatuan sukan negeri untuk mempersiapkan atlet-atlet kita.

“Kita mahu, persatuan-persatuan ini membariskan atlet yang benar-benar layak dan boleh menyumbang pingat kepada negeri.

“Kalau boleh, kita minta sangat agar atlet-atlet kita dijaga sebaiknya supaya mereka tidak terlepas di tangan negeri-negeri lain terutamanya membabitkan mereka yang bekerja atau merantau di negeri lain atas faktor pelajaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) di Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugam yang juga EXCO Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, sasaran pingat pada edisi kali ini turut dinaikkan dengan menyasarkan peningkatan 10 peratus berbanding pencapaian di Perak pada 2018.

Katanya, beberapa sukan juga akan diberi tumpuan khusus yang diyakini mampu menghadiahkan kilauan pingat buat negeri.

“Antara sukan yang kita lihat bagus sejak akhir-akhir ini ialah seperti sepak takraw.

“Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada sukan renang dan wushu yang boleh memungkinkan kita meraih pingat pada temasya itu nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

742
Kongsi :
Previous post Penduduk dakwa jadi mangsa akibat penutupan jalan
Next post DM Mart platform pacu pasaran produk PKS
Ubah saiz-+=