Penduduk dakwa jadi mangsa akibat penutupan jalan
PENGKALAN BATU 14 April – Penutupan simpang masuk ke Taman Akasia sejak empat tahun lalu menyebabkan berlaku kesesakan di Jalan Pulau Nibong, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang penduduk sekitar.
Meskipun sempit Jalan Pulau Nibong menjadi laluan alternatif pilihan ramai pemandu berikutan ia memendekkan masa perjalanan antara Bukit Beruang dan Pengkalan Batu.
Kesesakan khusus pada waktu puncak menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak termasuk peniaga hingga ada mendakwa masalah itu menjejaskan pendapatan mereka.
Penduduk, Md Derus Tumpang berkata, simpang masuk ke Taman Akasia ditutup pada Oktober 2018 menyebabkan ramai pengguna menjadikan laluan berdekatan rumah pangsa Batu Berendam, Blok B sebagai jalan pintas.
Dakwanya, selepas sekian lama penghuni di 30 unit kediaman bangunan itu berasa amat tidak selesa.
“Pelbagai masalah dihadapi penduduk sejak beberapa tahun lalu sehinggakan laluan lorong kecil itu menjadi sibuk pada setiap masa.
“Semua ini menggangu aktiviti seharian kami seperti untuk pergi ke kerja, hantar anak sekolah dan masjid apabila tiba waktu solat.
“Jalan pulau Nibong ini memang banyak kenderaan lalu setiap hari dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Mazelita Nawawi berkata, kesesakan berlaku menjejaskan pendapatannya berikutan pelanggan sukar mendapatkan parkir untuk singga ke kedainya.
“Kesesakan serius berlaku ketika waktu orang ramai pulang dari tempat kerja dan tamat sesi persekolahan.
“Saya memang kecewa dengan keadaan semasa, jalan yang kecil ini menjadi dua hala akan sesak sehinggakan menyusahkan pelanggan yang datang,” katanya.
Luahan sama juga turut dikongsikan pengusaha premis menjual aksesori kenderaan di deretan rumah pangsa berkenaan iaitu Lim Wei Ming.
“Kita pernah mohon untuk dibuka jalan itu kerana ia menjejaskan kami di sini dengan laluan jalan yang sempit menjadi punca ia sesak.
“Kita mohon kerajaan buka semula jalan berkenaan, sekali gus membolehkan kami meningkatkan pendapatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.