Suspek curi motosikal tular di media sosial direman empat hari
LENDU 2 Sept. – Tindakan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun mencuri sebuah motosikal membawa padah apabila jenayah itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Selepas 96 jam melaram motosikal curi, suspek ditahan semalam berikutan jenayah dilakukannya dirakam secara jelas.
Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Lendu, di sini pada jam 6.30 petang semalam kerana dipercayai mencuri motosikal Honda EX5 yang dipakir di tempat letak kenderaan sebuah kilang di Kelemak, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, polis menerima aduan daripada pemilik motosikal berkenaan, remaja lelaki berusia 21 tahun mengenai kehilangan motosikalnya pada jam 6.30 petang, Jumaat lalu.
Katanya, motosikal berkenaan didaftarkan mengikut nama bapa pengadu yang beralamat di Kampung Nelayan, Kuala Linggi, dekat sini.
“Pada jam 6.30 petang semalam, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Alor Gajah yang diketuai pegawai berpangkat inspektor, menangkap suspek di taman berkenaan.
“Polis merampas motosikal yang dipercayai dicuri suspek di lokasi kejadian pada masa dan tarikh yang dilaporkan pengadu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan reman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, rakaman CCTV berkenaan yang tular dalam media sosial Facebook menunjukkan suspek berpakaian kemeja T dan seluar hitam serta hanya berselipar, memulas beberapa kali ‘handle’ motosikal itu sebelum berjaya melarikannya.
‘Kecekapan’ suspek menerima kecaman netizen yang menyifatkan suspek sebagai memiliki kemahiran tinggi tetapi sayangnya ia digunakan untuk melakukan jenayah.
Selain itu, ada netizen mengecam kemahiran seumpama itu hanya akan merosakkan negara kerana jenayah berkenaan menyebabkan kadar jenayah curi motosikal meningkat.