Sorting by

×

‘Rindu air tangan arwah nenek…’

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

Oleh DIN AHMAD

ALOR GAJAH 1 Jun – “Aidilfitri kali ini, kami amat merindui laksa air tangan arwah nenek kerana ia tidak sama dengan laksa yang dibuat oleh orang lain tetapi apakan daya kami, Allah lebih sayang akan arwah.

“Pada malam raya dan pagi Aidilfitri kami seakan-akan terlihat kelibat arwah nenek sedang menyiapkan laksa di dapur untuk dihidangkan kepada kami tetapi hakikatnya, segalanya sudah menjadi kenangan kerana arwah nenek tidak akan kembali memasak laksa untuk kami,” kata Fitriani Hairuman, 21.

Beliau dan adiknya, Nurul Fitri Alia, 18, amat merindui arwah nenek, Allahyarhamah Merah Mohamad, 81, yang pergi meninggalkan mereka selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Sungai Siput, Lubok Cina dekat sini pada awal April lalu.

Fitriani berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, arwah nenek tidak pernah alpa menyiapkan laksa untuk dihidangkan pada pagi hari raya, sekali gus menjadikan makanan itu sebagai antara menu wajib.

Selain lemak, laksa hasil air tangan arwah Merah juga terasa lebih pedas berbanding laksa dihasilkan orang lain kerana arwah sememangnya gemar akan makanan pedas seperti masak lemak cili padi, katanya.

“Bagaimanapun, kerinduan kami terhadap laksa nenek sedikit terubat apabila datuk saudara kami, Amran Lajis, 72, membawakan ketupat, lemang dan rendang pada pagi hari raya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Serban Hijau, Sungai Siput hari ini.

Beliau berkata, walaupun hanya tinggal berdua dengan adiknya di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diwarisi daripada arwah nenek, mereka tidak bimbang kerana datuk saudara mereka yang tinggal di hujung kampung sering menziarahi mereka.

Sementara itu, Amran berkata, beliau sedang berusaha untuk membolehkan Fitriani mendapatkan lesen menunggang motosikal, selain membelikannya motosikal bagi memudahkan cucu saudaranya berulang alik ke tempat kerja.

“Sebelum ini Fitriani pernah mendapat tawaran kerja di pekan Alor Gajah tetapi terpaksa melupakannya kerana tidak mempunyai alat pengangkutan dan kampung ini jauh daripada kemudahan pengangkutan awam,” katanya.

Fitriani dan Nurul Fitri kehilangan ibu, Allahyarhamah Noraisyah Hussein akibat barah paru-paru ketika masing-masing berusia sembilan dan enam tahun dan sejak itu, mereka tiada tempat berteduh dan menumpang kasih kecuali arwah nenek.

Sebelum pemergian ibu tersayang, kehidupan mereka sekeluarga terasa amat sempit berikutan bapa mereka pulang ke Lombok, Indonesia dan tidak pernah muncul selepas itu, menyebabkan arwah Noraisyah terpaksa mencari rezeki dengan bekerja di ladang penternakan ayam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi 5 April lalu, arwah Merah meninggal dunia selepas dirempuh kereta Proton Persona ketika melintas jalan untuk membeli sarapan di warung berhampiran kediaman mereka.

Akibat rempuhan kereta dipandu jururawat wanita berusia 33 tahun yang dalam perjalanan dari pekan Lubok Cina ke Simpang Ampat, di sini, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan diminta menghubungi Amran dengan menelefon 012-9199232.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Chalet diancam hakisan
Next post Penunggang motosikal retak tempurung kepala dirempuh pemandu mabuk
Ubah saiz-+=