SKM sasar penubuhan 300 koperasi masjid tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 April – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mensasarkan 300 koperasi baharu masjid didaftarkan dibawahnya tahun ini sekali gus membantu institusi itu menjana ekonomi sendiri.

Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron berkata berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) agensi itu mensasarkan penubuhan sehingga 1,000 koperasi baharu bagi menyemarakkan aktiviti perniagaan pada musim pandemik yang secara tidak langsung membantu pemulihan ekonomi negara.

Katanya, setakat ini sasaran itu sudah mencapai 30 peratus dan SKM akan terus menumpukan usaha untuk menubuhkan lebih banyak koperasi masjid seperti dirancang.

“Ada lebih kurang 6,000 masjid di negara ini dan koperasi masjid sedia ada lebih daripada 400 jadi sasaran kita adalah menubuhkan 300 lagi koperasi masjid tahun ini.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan beliau meminta SKM Melaka memberi tumpuan bagi menjayakan penubuhan koperasi masjid,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Iftar Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka di sini, semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Pengarah SKM negeri, Mohd Firdaus Shaari.

Zazali berkata, SKM tidak boleh melaksanakan penubuhan koperasi masjid secara sendirian, sebaliknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“SKM akan berikan insentif bagi penubuhan itu untuk menggalakkan mereka menubuhkan koperasi masjid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 30 peratus daripada 14,800 koperasi di negara ini terjejas dan tidak aktif yang mana 20 peratus daripadanya adalah koperasi yang mempunyai akaun namun tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan manakala 10 peratus lagi tiada aktiviti langsung.

Jelasnya, SKM memberikan tempoh tiga tahun untuk memulihkan perniagaan koperasi tidak aktif ini dan sekiranya gagal untuk menjana sebarang aktiviti perniagaan atau mesyuarat, pihaknya akan membatalkan pendaftaran.

“Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah mengakses semula koperasi tidak aktif atau kita anggap mereka ini ‘dormant’, untuk kita bantu dalam program pemulihan bernilai RM20 juta dan ada beberapa kategori yang kita bantu.

“Sekarang kos harga barang tinggi, SKM bantu mempromosi kedai koperasi untuk menjual harga lebih rendah dan yang kedua, kita bantu kepada aktiviti koperasi yang tidak aktif akibat pandemik, contohnya seperti aktiviti perniagaan rumah inap, jadi kita bantu untuk menukarkan aktiviti perniagaan baharu.

“Kita beri bantuan dan sokongan dengan syarat koperasi berkenaan juga perlu ada modal sedikit bagi memberi semangat kepada koperasi tidak aktif ini meneruskan aktiviti perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1155
Kongsi :
Previous post Bilangan penganggur Malaysia menurun pada Februari 2022
Next post Pegawai pendidikan didakwa terima rasuah RM5,000 daripada kontraktor
Ubah saiz-+=