Lampin pakai buang, kain lampin cemari Pantai Pengkalan Balak
TANJUNG BIDARA 2 Sept. – Amat menjijikkan apabila kain lampin dan lampin pakai buang dibuang sesuka hati di Pantai Pengkalan Balak, di sini.
Ia gambaran betapa ada sesetengah pengunjung pantai tidak prihatin terhadap kebersihan pantai peranginan berkenaan yang menyebabkan ia dicemari sampah sarap.
Pihak tidak bertanggungjawab itu berbuat demikian tanpa mempedulikan tong sampah yang disediakan syarikat pemegang konsesi pembersihan, SWM Environment Sdn Bhd (SWM).
Ia bukan setakat menjejaskan pemandangan di pantai peranginan itu, malah menimbulkan rasa geli dalam kalangan pengunjung pantai, terutama mereka yang mencintai aspek pemeliharaan kebersihan alam sekitar.
Bagi penduduk tempatan, Roslan Osman, 54, beliau terpaksa mengambil tindakan mengutip kain lampin dan lampin pakai buang berkenaan untuk dibuang ke dalam tong sampah.
“Saya tak kisah untuk mengutip kain lampin dan lampin pakai buang itu kerana ini pantai kami dan kampung kami.
“Kami harap pengunjung pantai memberikan kerjasama memelihara kebersihan kerana kain lampin dan lampin pakai buang menyebabkan orang lain berasa jijik untuk berenang dan menyelam di pantai ini,” katanya ketika ditemui di pantai itu hari ini.
Beliau berkata, ia bukan kali pertama kain lampin dan lampin pakai buang dijumpai terbiar di pantai itu, malah sebelum ini beliau pernah terjumpa sampah yang lebih teruk daripada itu dan terpaksa mengutipnya demi kebersihan pantai.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Abdul Mutalib berkata, orang ramai harus membantu usaha memelihara kebersihan, terutama di pantai peranginan di negeri ini, termasuk di Pengkalan Balak.
“Pantai yang bersih mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung manakala pantai yang sebaliknya hanya akan menyebabkan pantai itu semakin sepi tanpa pengunjung,” katanya ketika dihubungi.
Belliau berkata, bagi membantu memelihara kebersihan di pantai berkenaan, SWCorp dengan kerjasama SWM membuat kerja pembersihan melalui program gerak gempur pegawai tertinggi kedua-dua pihak terbabit yang beramai-ramai turun padang baru-baru ini.
Katanya, program itu bertujuan menerapkan budaya kerjasama antara SWCorp dengan SWM dan kontraktor pembersihan SWM bagi meningkatkan keberkesanan program pemeliharaan kebersihan.
“Kita mahu menjadikan Melaka sebagai antara negeri terbersih di negara ini, sejajar usaha kerajaan negeri memajukan industri pelancongan yang tidak akan berjaya jika negeri ini dipandang sebagai negeri kotor dan jijik dari perspektif pelancong tempatan dan asing,” katanya.