SKM komited perkasakan perniagaan dalam talian
MELAKA, 8 April – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited memperkasakan perniagaan secara dalam talian bagi membantu membangunkan koperasi secara lebih kompetitif dan membantu mengaktifkan semula koperasi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Haron berkata hampir 60 koperasi di seluruh negara terjejas setelah negara dilanda wabak itu manakala hampir 30 peratus daripada 14,600 koperasi yang didaftarkan dikategorikan sebagai tidak aktif.
“Mungkin ini cara untuk naikkan semangat terutama koperasi yang berada dalam keadaan ‘dormant’ atau tidak aktif. Pada masa yang sama kita cuba lihat mana-mana peraturan yang boleh dilonggarkan agar aktiviti koperasi dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Malam dan Beramah Mesra bersama pengamal media Melaka di sini malam tadi, yang turut dihadiri Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari.
Zazali berkata suntikan bantuan menerusi program pemulihan sebanyak RM20 juta juga akan membantu menambah pendapatan koperasi serta dapat mengurangkan jumlah koperasi yang tidak aktif.
Beliau berkata kaedah perniagaan dalam talian itu berpotensi diperluaskan ke koperasi bersasar kumpulan rendah seperti B40 yang ditubuhkan di kawasan perumahan golongan tersebut.
“Seperti kawasan flat, koperasi boleh buat kedai runcit. Atau yang seperti sebelum ini kita rancang mewujudkan sebanyak 300 koperasi masjid pada tahun ini,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.