Masih setia 50 tahun kayuh beca
BANDA HILIR 1 Sept. – “Banyak perkara mencuit hati sepanjang 50 tahun mengayuh beca, macam-macam ragam pelancong sehingga ada yang tidak bayar selepas naik beca,” kata Mohd Salleh Abu,74, kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Menurutnya, pengalaman paling tidak dilupakan apabila dia berpeluang membawa Raja Permaisuri Siti Aishah Abdul Rahman iaitu Permaisuri kepada Almarhum Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah suatu ketika dahulu.
“Bukan itu sahaja, saya pernah membawa mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebanyak dua kali selain menteri-menteri besar yang datang ke Negeri Melaka.
“Alhamdulillah, 50 tahun kayuh beca Allah S.W.T beri kesihatan yang baik dan membolehkan saya mengayuh beca sehingga hari ini, jika tidak kayuh beca saya rasa tidak selesa sebab dah biasa bergerak aktif,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mohd Salleh merupakan anak jati Melaka yang menetap di Kampung Pengkalan Rama meneruskan kehidupan bersama isterinya yang berumur 62 tahun.
“Anak-anak ada yang tinggal di Terengganu, ada di Johor dan Melaka. Ikutkan anak-anak mereka tidak berminat untuk ambil alih tempat saya, tetapi mereka sentiasa beri sokongan kepada saya.
“Segala perhiasan beca ini saya buat sendiri, saya juga gemar pasang lagu-lagu klasik semasa membawa pelancong selain menceritakan tentang sejarah Melaka semasa mereka naik beca,” katanya.
Sementara itu, Mohd Tarmizi Mustafa, 33, pula berkata sejak dia mengayuh beca pelbagai pengalaman menarik diperoleh termasuk mempelajari sejarah Melaka.
“Bukan saja sejarah Melaka, malah saya dapat belajar pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris serta memahami bahasa pelancong luar seperti Korea dan sebagainya.
“Mula-mula memang tak pandai, tapi bila dah kerap bawa pelancong lama-lama kita akan faham bahasa mereka,” katanya yang sudah tujuh tahun mengayuh beca.
Mohd Tarmizi meminta supaya kerajaan negeri terus mengekalkan pengayuh beca sebagai duta kecil pelancongan Negeri Melaka.