Sorting by

×

JPS mulakan kerja bina tembok penahan ombak

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Sept.  – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri hari ini mengotakan janji untuk mengatasi masalah hakisan pantai dengan memulakan kerja membina tembok penahan ombak di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, di sini.

Selepas tiga bulan berusaha mendapatkan dana, jabatan itu melalui kontraktor dilantik, mula menyusun bongkah batu membentuk tembok sepanjang kira-kira 100 meter di pantai berkenaan yang mengancam operasi chalet pengusaha Bumiputera.

Pengarahnya, Abdul Hakim Hamzah berkata, peruntukan sebanyak RM500,000 disediakan bagi membina tembok berkenaan berikutan hakisan serius sejak hujung Mei lalu.

“Tiada benteng pemecah ombak dibina, sebaliknya kerja mengatasi hakisan itu hanya membabitkan pembinaan ‘rock revetment,’ iaitu menyusun bongkah batu menjadi tembok penahan ombak di kawasan yang terjejas.

“Kerja berkenaan mampu mengelakkan hakisan bertambah teruk, sekali gus menyelamatkan pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, tinjauan mendapati dua jentera pengorek memulakan kerja berkenaan hari ini dan dijangka mampu menyiapkannya dalam tempoh beberapa minggu.

Abdul Hakim berkata, peruntukan itu disediakan kerajaan negeri tetapi tidak termasuk peruntukan bagi mengatasi masalah yang sama di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi.

Katanya, JPS sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja mengatasi hakisan pantai yang mengancam kira-kira 100 nelayan di kampung itu.

Hakisan pantai di kedua-dua lokasi berkenaan, masing-masing mengancam chalet milik pelabur bumiputera dan nelayan yang menjadikan pantai Kampung Tanjung Dahan sebagai pangkalan perahu dan peralatan menangkap ikan.

Kedua-dua lokasi berkenaan mula mengalami hakisan sejak hujung Mei lalu dan ia bertambah serius berikutan ribut membadai pantai sebulan selepas itu dan Julai lalu.

Sementara itu, pengusaha terbabit, Yusof Yaacob, 63, mendakwa terpaksa mengeluarkan kos RM10,000 untuk mendapatkan bongkah batu yang dijadikan tembok penahan ombak sementara, berikutan ancaman hakisan semakin serius.

“Alhamdulillah, selepas tiga bulan dibelenggu kebimbangan kerana hakisan semakin hampir dengan chalet, JPS memulakan kerja membina tembok penahan ombak,” katanya.

Views:

692
Kongsi :
Previous post Usahawan PKS jangan bimbang teruskan perniagaan semasa pandemik
Next post Op Motosikal hasilkan 768 saman
Ubah saiz-+=